Sunday, September 23, 2012

Aku Rela Jadi Isteri Kedua & Aku Tak Rela Jadi Isteri Kedua

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya..." Fatimah mula sebak.
"Tak. Maksud saya – "

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu 'Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.
 Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang Muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri, sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.
Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan," jawab Fikri.

*salin, edit dan tampal dari SINI

~mungkin belum masanya utk membicarakan soal nikah..Namun, berdoa untuk pasangan yang soleh/solehah itu seharusnya bermula sejak akil baligh lagi. Dan aku rela untuk menjadi madu kepada sebuah PERJUANGAN, berkongsi suami dengan perjuangan, berkongsi masa dengan perjuangan, serta berkongsi wang ringgit dengan perjuangan. Moga aku diberi peluang dan kemampuan dalam menjadi MADU sebuah PERJUANGAN. Moga aku bukan batu penghalang untuk pasanganku berjumpa dengan isteri pertamanya iaitu PERJUANGAN. Aku harap aku pemudah cara dan batu loncatan bagi pasanganku berjumpa dengan PERJUANGAN. Usahanya bermula sekarang, solehahkan diri, mantapkan diri, hiasi peribadi, ikhlas kerana Illahi~~

~Tak kesah madu bernama PERJUANGAN,tapi sangat kesah dengan madu bernama Salmah, Rogayah, Atiqah, Farah, dan yang sewaktu dengannya...=)

Monday, September 17, 2012

Sayang Kamu Kerana Allah

Farah : mungkin awak boleh jadik imam

Ani : Alamak, saya sakit perutlah awak. takpe takpe, awak solat dulu, nanti saya masbuk.

Farah : Nampak dah permainan dia.

Ani cepat-cepat masuk tandas. Masing-masing tergelak sendirian. Masing-masing mengelak dari menjadi imam. Namun, masing-masing mahu berjemaah. Usai memberi salam, sekali lagi 'pertelingkahan' berlaku. Farah cuit Ani. Ani cuit Fara. Farah jeling Ani. Ani jeling Farah. Farah tutup muka. Ani tutup kepala.

Farah : Cepatlah Ani, Farah nak dengar doa Ani. Dah lama tak dengar, rindu.

Ani : Eleh, tipu. Tadi Ani dah baca doa kan. Farahlah pulak.

Farah : Doa Ani sedap.

Ani : Allahuakbar..Astaghfirullah...Ani sakit tekaklah awak.

Farah : Tapi masih boleh baca lagi. Cepat-cepat, tak baik bazir masa.

Usai lantunan doa dihayati dan diaminkan, mereka bersalaman.

Ani : Terima-kasih awak jadi imam saya. Mintak maaf salah silap.

Farah : Saya pun mintak maaf jugak.

Sepasang kawan itu pun mula melipat sejadah. Errr, melipat sambil bermain.

Ani : Awak sayang saya?

Farah : hehehe..tak! kenapa nak kena sayang awak?

Ani : Betul awak tak sayang saya?. Pandang mata saya dan cakap awak tak sayang saya.

Farah : Saya tak sayang awak. (sambil membulatkan mata)

Ani : Sampai hati awak.

Farah : Ani,,maaf..Farah sayang Ani.

Ani : Pandang mata saya dan cakap awak sayang saya.

Farah : Saya sayang awak. (terus tutup muka)

Ani : hehehe...Saya sayang awak jugak....kerana Allah..

Terburai gelak tawa sepasang kawan itu. Terpancar kebahagiaan di wajah mereka.

Ani : Farah, jom makan. Ani lapar la.

Farah : Ok ok jom makan. Meh Farah suap Ani.

Ani : Yeaaay! jom~

Sedang mengunyah nasi tidak melebihi 40 kali,

Farah : Ani...Ani...Farah malu dengan Ani..

Ani : Ani lagi malu dengan Farah. Baik je orangnye..

Farah : Astaghfirullah..takde maknanya..Amin...aminkan aje..dah..dah..jangan cakap lagi..

Ani : Ye, untung Ani dapat Farah. Untung Ani dikelilingi sahabat-sahabat yang baik.

Farah : Maafkan Farah ye. Kalau ada ape-ape Ani beritahu dan tegur Farah ye. Farah takut. Farah ni teruk. Malu dekat orang lain.

Ani : Farah takde salah dengan Ani pun. Takde langsung. Ani yang banyak buat salah. Maafkan Ani ye.

 Farah : Ani bagilah pengisian kat Farah.

Ani : Allah,..Farah lah start dulu..pastu nanti Ani tambah-tambah. Jom kita pilih topik.

Lalu pengisian di kala santapan pun bermula.

"Ani sayang Farah kerana Allah. Sayang sangat-sangat. Rasa macam dah jatuh cinta. Alhamdulillah, indah sungguh perasaan ini." monolog Ani sambil menguis-nguis nasi. "moga kita menjadi mawar agama, bidadari dunia dan syurga, dan pergi menemuiNya sebagai seorang syuhada'"..


           **********************************

Indahnya persahabatan hanya keranaNya. Selalu berpesan-pesan dengan nasihat dan berpesan-pesan dengan kebaikan. Sama-sama bertatih menuju mardhotillah. Aku jatuh, kau hulur tangan. Aku tempang, kau pimpin tangan. Aku luka, kau rawat. Aku hiba, kau tiup semangat. Aku lemah, kau beri taujihad. Andaiku tiada lagi di bumi, harapnya kau hantarku dengan alfatihah. Moga kita berjumpa di jannahNya. Aku sayang kamu kerana ALLAH sahabatku...



Jujur,
madusemalu








Friday, September 14, 2012

Kelangsungan Dakwah

Senyap
Tidak bererti mengalah
Berjuang
Tidak semestinya turun ke padang

Kelangsungan Dakwah
Perlu dititkberatkan

Warna sebenar kita
hanya aku dan kau yang tahu.

Monday, September 10, 2012

Kafarah Dosa

Alhamdulillah
sakit dapat mengurangkan dosa
sakit dapat belajar erti sabar
sakit dapat 'berehat'
sakit dapat mengingatiNya selalu

Demam
ini baru demam
sudah tidak mampu berbuat apa-apa
kerdilnya kita

Allahuakbar
Allah Maha Besar

Sungguh kita ini hambaNya
Hamba
Hamba
Hamba
banyak yang tersurat dan tersirat
dari ungkapan pendek
'HAMBA'

Ayuh sahabat
Mari menjadi HAMBA...