Saturday, August 6, 2011

Aku Mahu Berhenti Menulis!.


Inilah dia sifat buruk aku. Hangit-hangat tahi ayam. Lemah. Sedari bangku persekolahan aku sudah menyedari bahawa aku seringkali melakukan kerja separuh jalan atau begitu bersemangat pada awalnya namun jika berasa sukar pada pertengahannya, aku menyerah. 

Mengapa Berhenti Menulis?

Entah.
Mungkin penulisanku membosankan orang.
Mungkin aku tidak layak memberi.
Mungkin aku terlalu sibuk hal duniawi.
Mungkin aku KECIL HATI.

Muhasabah

Aku selongkar kembali niatku dalam berblog. Aku refresh kembali dan aku pasakkan dan sematkan dalam hati tentang niat sebenar aku mahu berblog. Menulis kerana Allah. Segala perkara yang kita lakukan mestilah kerana Allah, baru dikira sebagai ibadah. Besar ruang lingkup ibadah sebenarnya. Hatta mahu tidur dan membuang hajat juga dikira ibadah jika diniatkan kerana Allah. Tidur supaya bertenaga melakukan ibadah. Itulah tidur kerana Allah. Jadi mengapa mahu berhenti menulis??. Jika apa yang aku lakukan sekarang ini adalah InsyaAllah tergolong dalam ibadah…Amin ya Rabb.

Kecil hati mungkin. Aku berfikir kembali. Mengapa perlu aku mementingkan kata-kata hati sedangkan pepatah Melayu sudahpun menyebut ikut kata binasa, ikut hati mati.

Mungkin aku tidak layak memberi. Memang aku insan yang berderet kelemahan. Namun aku tahu bukan itu alasan untuk tidak memberi. Sedangkan Rasulullah pernah bersabda,”Sampaikanlah walau sepotong dari ayatku”. Kerana itu Ilmu. Ya, namun aku sedih dan berasa teramat rendah diri. Kerana aku mahu memberi RM10 tetapi aku hanya mempunyai RM0.10. Namun bukan ini alasannya, ilmu itu perlu ditimba, dicari, digali, diterokai, dan diamalkan. Bukan dengan hanya duduk santai di dewan kuliah. Jika begitu, terhapuslah dan tiadalah istilah “aku tidak layak memberi”.
           
Mungkin gaya penulisanku membosankan. Adakah yang ilmiah itu membosankan? Dan yang membosankan itu pastinya pernbincangan yang ilmiah. TIDAK!.. Fitrah manusia adalah kearah kebaikan, ke arah mentaati perintah Allah. Jadi, aku tidak peduli jika kamu mengatakan aku membosankan. Kerana aku tahu kamu fitrahnya inginkan kebaikan. Terbitnya kalimah ‘bosan’ adalah atas kelemahan diriku sendiri yang harus aku perbaiki. Dan ini juga bukan penyebab aku mahu berhenti menulis.

Kesimpulan

InsyaAllah aku tidak akan berhenti menulis!..Biar apa orang kata, biar apa bisikan nafsuku bermaharajalela, biar sesibuk manapun urusan dunia, biar secetek manapun ilmu di dada, biar berdarah sekalipun hati terluka, InsyaAllah niatku mahu menyampaikan walau sekelumit cuma…Cukuplah Allah bagiku~ Moga Allah Redha…

Wasalam…

p/s: Maaf entri tdung labuh dan leukemia masih tergantung. Masalah internet dan laptop yg rosak sedikit sebanyak menyumbang kpd kelewatan. Akan di update sepantas yg boleh..biarpun tiada yg membaca,asalkan aku tahu ianya bermanfaat bagiku...Wallahualam

Lillahita’la,
Madusemalu
InsyaAllah…

1 comment:

  1. jangan pernah berhenti menulis ye hanis.. tulisan mu wat aku lbih kuat lagi...

    ReplyDelete