Monday, May 30, 2011

Bila Leukimia Menjengukku (Bahagian 2)

"Hanis, hanis da sedar ke?. Waah lenanya Hanis tidur. Ni mesti ada mimpi best-best ni", terkoyak senyuman di bibir Khairunnisa walau aku tahu hatinya tidak keruan. Maafkan aku sahabat kerana membuat kalian risau.  Jujur, aku sering rasa penat tidak tentu hala dan lelahku sering bertandang kembali. Lelahku sudah lama tidak berdamping denganku. Namun, sejak akhir-akhir ini, senang sahaja aku menerima kunjungan lelah.

"hehehe...tau takpe...Aku mimpi ada putera kayangan datang naik unicorn nak pinang aku...peergh, hensem gila", aku membalut kerisauan mereka dengan gurauanku. Aku hadiahkan sekuntum senyuman.

"Patutlah, lama gila kau 'tidur'. Lain kali jangan nak ngada-ngada 'tidur' time jalan dekat tengan-tengah jalan raya ea", Aisyah memberi amaran yang sangat prihatin.

"Eerm, yelah yelah aku janji. Aku ngantuk sangatlah tadi, tak sedar ape-ape pun".

"Ok, takpe-takpe. Hanis, kitorang dah hantar dah mini project Bio tu. Lepas ni kita semua tiada kelas kan? Jom balik kolej. Hanis kena banyakkan rehat dan tenangkan fikiran", Hafsah bersuara.

"Hanis, lain kali kita pergi klinik ya? Hanis buat la check-up dengan doktor. Tanya ape sebenarnya sakit Hanis ni. Pucat semacam je aku tengok ko", Hamizah bimbang.

"Pucat? ooooh, aku lupa pakai gincu lah, tadi kan nak cepat. Eh, jom lah balik kolej. Aku dah sihat dah ni. Boleh sahaja kalau nak berlari balik kolej ni", aku bergurau lagi.

             *********************************************************************

Aku duduk termenung di hadapan berandah menghadap ke Kolej Aminuddin Baki. Tersergam indah gunung-ganang yang merupakan sebahagian dari banjaran titiwangsa. Sangat menenangkan pemandangan saat ini. Subhanallah. Tanpa disedari, aku membenarkan fikiranku melayang-layang terbang dibawa angin petang.

Aku teringat tika Doktor Zamri mengungkap kata-kata yang sungguh menyentap perasaanku. Terasa kosong seisi dunia ini, hembusan nafasku terhenti seketika, anak mataku tepat menikam anak mata Doktor Zamri, berkaca-kaca pandanganku. Terasa ada batu yang maha berat menghempap pundakku. Aku seka air mata yang jatuh lesu ke pipiku. Namun, air mata itu terus-terusan mengalir tanpa mampu aku seka lagi. Biarlah ia mengalir. Di satu sudut, aku lihat ada sepasang mata yang sayu, juga mengalirkan air mata, tiada suara yang kedengaran. Hanya dadanya sahaja yang berombak-ombak menahan kesedihan yang teramat sangat. "Abaaah", aku berbisik. Mama yang berdiri sedari tadi jatuh terduduk. Juga tiada suara yang kedengaran. Sangat lain, tidak seperti selalu. Teringat dulu ketika aku mengalami kemalangan, tetapi Alhamdulillah hanya calar di muka dan tangan sahaja. Itupun mama sudah meraung di hadapan orang ramai. Tetapi kini, lebih teruk dari sebuah kemalangan. Mengapa tiada suara yang kau luahkan mama?. Ketika aku kemalangan dahulu, sejurus sahaja abah melihat keadaanku yang tidaklah terlalu teruk, dia terus keluar dari bilik. Kakak sepupuku mengatakan bahawa abah terlalu sebak sehingga tidak sanggup melihatku, abah mengesat air mata, itu yang diberitahu oleh kakak sepupuku. Aku menjadi bertambah sedih melihat keadaan abah dan mama sekarang. Basah sudah pipiku.

"Adik Hanis, dah berapa lama Hanis rasa penat-penat badan ni?", Doktor Zamri tagih jawapanku.

"Em, dah lama juga doktor, dari tingkatan 1 lagi. Saya selalu je tidur dalam kelas", Aku menjawab sambil tersenyum. Malu juga. Bukannya apa, nampak sangat aku tidak fokus ketika guru mengajar. Mungkin aku tidak tekun mendengar.

"Dari tingkatan 1? Dah lama tu. Doktor nak tau, Hanis ada rasa apa-apa lagi tak selain rasa cepat penat?

"Rasa lain? Emmm, entahlah doktor, tapi selalu jugak saya demam-demam malam. Adik saya selalu beritahu saya mengigau malam-malam," Aku mula bercerita.

"Selalu ye demam-demam malam? Dah berapa lama perkara ni berlanjutan?, berkerut dahi Doktor Zamri.

"Emm, dari tingkatan 1 jugak seingat saya. kenapa doktor?"

"Begini, air bone-marrow yang kami ambik tadi kami akan analisis. Dalam 4 hari lagi Hanis datang lagi ke sini ambik keputusan ujian", Doktor Zamri menulis sesuatu. Ligat tangannya di atas sekeping kertas. Emmm, tulisan doktor, tak faham aku.

"Baiklah doktor. Tapi kan doktor, doktor rasa saya ni sakit apa? Saya sihat je kan doktor? Ni ha, gemuk je badan saya ni. Saya malas nak pergi klinik sebenarnya, pergi hospital apetah lagi. Saya ni tak suka makan ubat. Tapi, mama saya yang paksa saya. Dia kata saya nampak macam orang sakit aja. Saya pun ikut je lah nasihat mama saya. Maaflah doktor, saya buang masa doktor", aku bercerita tanpa diminta.

"Hanis......"

"Ada apa doktor?"

"Saya harap Hanis dapat terima walau apapun ujian air bone-marrow Hanis nanti tu ya. Ha, jangan lupa jaga pemakanan. Jangan makan makanan yang banyak pewarna, makanan-makanan segera, dan jangan minum ais"

"Jangan doktor? Tak boleh makan langsung ke? Alaaa..."

"Kurangkanlah pengambilannya, kalau boleh jangan ambil langsung lagi baik", Doktor Zamri mengingatkan.

"Tapi doktor, doktor rasa saya ni sakit apa? Beritahu je lah doktor, takdelah saya tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya", lancar sahaja kata-kataku.

"Maafkan saya, pada pengamatan dan pengalaman saya selama menjadi doktor, saya rasa adik Hanis menghidap Leukimia", Doktor Zamri menundukkan pandangan. Mungkin berat baginya untuk memberitahu. Namun, berat lagi emosi untuk aku menanggungnya.

Leukimia.......Leukimia.........Leukimia......bergema-gema perkataan itu di gegendang telingaku.  Leukimia, bukannya aku tidak tahu penyakit itu. Masakan tidak, aku belajar Biologi. Sedikit sebanyak aku tahu bahawa Leukimia itu merupakan kanser darah di mana darah putih dengan rakusnya membunuh sel darah merah lantas membuatkan penghidapnya kurang daya tahan. Paling penting, apa aku tahu, tipis peluang untuk hidup bagi si penghidapnya. Namun, itu cuma telahan doktor sahaja, belum dibuktikan lagi. Maksudnya, aku masih ada peluang. Bukankah tiada penyakit yang tiada penawar melainkan kematian?.

Tiba-tiba, aku dikejutkan dengan sepasang burung yang bertenggek di ampaian baju di hadapanku. Kicauan mereka membunuh lamunanku. Romantis sekali mereka. Aku tersenyum sambil menyeka cecair putih yang mengalir keluar dari sepasang mataku. Malu jika dilihat oleh pasangan burung tadi.

Selepas 4 hari, aku kembali lagi ke Hospital Muar yang kini dikenali sebagai Hospital Pakar Sultanah Fatimah. Jantungku berdegup dengan ganas. Hayunan langkah aku kecilkan. Aku meramas-ramas tangan yang basah. Hatiku tidak berhenti berdoa. Perlahan-lahan aku menapak ke bilik Doktor Zamri. Aku berdiri kaku selama beberapa saat di hadapan pintu biliknya. Mama meraih tanganku, melemparkan senyuman, dan mengangguk kepadaku. Aku dihujani kekuatan secara tiba-tiba. Dengan lafaz basmallah, aku mengetuk pintu biliknya.

"Masuk", suara Doktor Zamri kedengaran.

Mama, abah, dan aku segera masuk ke perut bilik Doktor Zamri dan terus melabuhkan punggung apabila dijemput duduk. Bibirku pucat. Ibarat menanti hukuman yang akan dijatuhkan ke atasku. Aku takut.

"Apa khabar Hanis? Nampak macam sihat je hari ni? Hanis jaga pemakanan tak?" Terpancar keikhlasan di wajah Doktor Zamri.

"Alhamdulillah doktor, macam nilah saya, sihat sahaja. Eerr, doktor............bagaimana dengan keputusan ujian makmal ke atas air bone-marrow saya? Bagaimana doktor? Betul ke saya ada Leukimia? Betul ke apa yang doktor telahkan tempoh hari? tidak betulkan doktor?", tanpa kusedari aku hujani doktor dengan persoalan yang aku takut untuk hadapinya. Aku takut. Mataku sudah berkaca-kaca.

"Em, Hanis...Leukimia boleh dirawat. Kita mempunyai teknologi yang canggih-canggih pada masa sekarang. Lagipun, terbukti ada pesakit Leukimia yang survive", doktor Zamri menjawab tetapi tidak menjawab soalanku.

"Apa maksud doktor?", bulat mataku memandang doktor Zamri. Setitik air mata sudah mula membasahi pipi.

"Hanis, percayalah, anda di antara yang terpilih oleh Allah untuk menghadapi ujian ini. Tentu ada hikmahnya awak diuji sebegini. Yang penting, awak jangan berputus asa. Kita ada pelbagai cara untuk merawat penyakit awak", doktor Zamri masih mampu melemparkan sebuah senyuman.

"Ya Allah.............Allah huakbar..........Alhamdulillah......", sungguh aku tidak mampu menyembunyikan kesedihan yang bermaharajalela saat ini. Aku ketepikan rasa malu. Aku menangis sepuas-puasnya dalam pelukan erat mama. Esakan tangisku semakin menjadi-jadi. Abah tersandar di pintu bilik doktor Zamri. Tiada butir jernih yang mengalir. Tiada air mata?. Mama mengesat air mataku dan mengucup pipiku berkali-kali. Doktor Zamri menjadi penonton yang setia tanpa diminta. Dia meneruskan bicaranya.

"Hanis, sabar ya. Jadi sekarang ni, awak perlu dimasukkan ke wad agar kami boleh pantau perkembangan awak dari semasa ke semasa",

".........................................................................................................................".

"Dan Hanis, jika awak berjaya melalui yang pertama ini dengan baik dan penyakit ini tak berulang untuk kali kedua, saya percaya, awak ada harapan...Dengar ni Hanis, awak ada harapan", doktor Zamri cuba memberikan sinar.

"Tapi doktor, kalau penyakit ni berulang untuk kali kedua bagaimana pula?", mama bersuara.

"Emmmm, maafkan saya, jika penyakit ini berulang untuk kali kedua, maksudnya.......................harapan tipis, sangat tipis!", doktor Zamri cuba berkata jujur.

Kami terpempan. Tiada kata-kata. Sunyi.

"Hanis, Hanis, ooooooh Hanis.....Laa, kat sini rupanya ko. Oi, layan jiwang ke?" Terkejutku dari lamunan dek suara Hamizah. Lantas aku menyeka air mata sebelum berpaling.

"Ish ko ni, terkejut aku tau tak? Cuba bagi salam, kan lebih bagus", aku tersengih.

"Assalamualaikum...ha dah bagi dah...Eh Hanis, ko nangis ke? Kenapa ni? Ko ada masalah ke? Ceritalah kat aku", Hamizah turut sama duduk sebelah-menyebelah denganku.

"Banyak sangat masalah aku ni, susah nak cerita", aku sugul.

"Cuba cerita, InsyaAllah sekurang-kurangnya boleh mengurangkan bebanan perasaan", Hamizah memujukku.

"Yang pertama, masalah fizik yang En Azman suruh buat tu, banyak lagi aku tak siap. Yang kedua, assignment Silat Cekak aku tak mula lagi. Yang ketiga..........", aku mahu meneruskan bebelan apabila Hamizah tiba-tiba memukul bahuku.

"Banyak la ko!. Ngarut je petang-petang ni. Malas aku nak layan ko. Aku masuk dulu la ea", Hamizah lantas mengangkat punggung.

            **********************************************************************

*Bersambung......

2 comments:

  1. Ye syg...rekaan semata-mata...imaginasi penulis...untuk membayangkan apa yg dilakukan kalau kematian sdg menghampiri...dah bersediakah aku? huhu...

    ReplyDelete